[Video] Najip Ali Langsung Tidak Buat Salah, Tetapi Rakyat M’sia Terlalu ‘Emosi’ & Cepat Menghukum
Seluruh rakyat Malaysia sejak semalam dilihat ‘terlalu’ emosi dalam memberikan reaksi terhadap sebuah program berkonsepkan komedi yang disiarkan stesen televisyen Mediacorp Singapura, OK Chope! terutamanya terhadap salah seorang ahli panel program berkenaan, Najip Ali.
Selain Najip Ali, program tersebut yang disiarkan secara langsung di saluran Channel 5 pada 29 Mac lalu dan dikendalikan pengacara Vernetta Lopez turut menampilkan tiga lagi selebriti Singapura iaitu Mike Kasem, Rishi Budhrani serta Sam See.
Ia menimbulkan kemarahan ramai berikutan program tersebut didakwa tidak sensitif dan secara sengaja memasukkan unsur penghinaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak apabila salah satu soalan yang dikemukakan Vernetta berbunyi: “Najib slams ____ for threatening Malaysia’s progress”. (Najib membidas ____ kerana mengancam perkembangan negara)
Memberi reaksi kepada soalan tersebut, keempat-empat ahli panel program itu dilihat memberi pelbagai jawapan secara bergilir-gilir, namun jawapan yang diberikan mereka mengundang kemarahan umum ekoran didakwa menghina dan mempersendakan Perdana Menteri.
Antara yang paling teruk menerima kritikan dan ‘diseranah’ netizen adalah Najip Ali kerana dikatakan sebagai seorang yang ‘lupa diri’ memandangkan beliau kini mencari rezeki di Malaysia sebagai salah seorang juri program realiti.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi memberi tempoh sehingga Jumaat ini untuk Najip Ali tampil membuat permohonan maaf, sekiranya tidak, laporan polis terhadapnya akan dibuat selain mencadangkan agar Najip Ali disekat daripada membuat penampilan dalam rancangan televisyen Malaysia.
Sementara, Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR) pula menggesa kerajaan supaya melarang Najip Ali daripada memasuki negara ini.
Tetapi adakah tindakan ini tidak terlalu keterlaluan jika dibandingkan dengan ‘kesalahan’ dilakukan Najip Ali?
Pertama, jika benar rakyat Malaysia rasa terhina disebabkan program tersebut, pihak yang harus dipersalahkan adalah stesen televisyen berkenaan, dan bukannya Najip Ali.
Beliau hanya menjalankan tugasnya untuk menjawab soalan yang diberikan oleh pengacara program, namun apa yang berlaku sekarang adalah, individu tertentu dan netizen seolah meletakkan sepenuhnya kesalahan itu ke atas bahu Najip Ali, sehinggakan beliau menjadi ‘sasaran’ cacian semata-mata alasan selebriti itu ‘mencari makan’ di Malaysia.
Kedua, jika diteliti balik video tersebut, jawapan yang diberikan Najip Ali langsung tidak menggambarkan bahawa beliau cuba menghina Perdana Menteri kerana hanya memberi jawapan dalam bentuk ejaan nama iaitu huruf ‘P’ dan ‘B’ sahaja.
“Najib with the ‘B’ slams Najip with the ‘P’ (Najib huruf ‘B’ bidas Najip huruf ‘P'),” katanya dalam rakaman tersebut.
Ketiga, selepas jawapan diberikan oleh Najip Ali, beliau dilihat hanya berdiam diri dan tidak memberi sebarang jawapan lain, berbanding rakan-rakan artis yang bersamanya pada episod tersebut.
Di situ kita boleh lihat kebijaksanaan dan kematangan Najip Ali sebagai seorang selebriti yang berpengalaman dan pandai mengawal keadaan serta memberikan ‘jawapan selamat’.
Bahkan, jawapan yang diberikan Najip Ali juga sebenarnya kelakar, bukannya berunsur menghina seperti yang didakwa.
Tambahan pula selepas semua selebriti itu cuba melakukan tekaan, pengacara program, Vernetta pada akhirnya memberikan jawapan sebenar kepada soalan kuiz itu iaitu “fake news” (berita palsu).
Vernetta turut menjelaskan bahawa disebabkan berita palsu, Malaysia hampir terlepas pelaburan besar dari Saudi Aramco, yang berjumlah kira-kira RM31 bilion.
Ini secara tidak langsung soalan yang dikemukakan dalam program itu telah memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat mengenai isu semasa dalam Malaysia dan ia adalah perkara yang positif untuk dikongsi kepada umum!
'Si Presiden Suka Cari Salah'
Berbalik kepada gesaan dibuat Zed Zaidi supaya Najip Ali membuat permohonan maaf atau laporan polis akan dibuat ke atasnya, ia jelas menunjukkan presiden Seniman itu sebenarnya ‘suka membuli dan mencari kesalahan’ terutamanya dalam kalangan artis antarabangsa.
Zed Zaidi seharusnya meneliti apa yang diperkatakan oleh Najip Ali kerana beliau tidak mengeluarkan sebarang kata-kata atau ungkapan yang membawa kepada menghina Perdana Menteri, jadi kenapa tuntutan maaf itu perlu dibuat?
Jika dilihat kepada isu terdahulu, Zed Zaidi tidak pernah terlepas daripada ‘perasaan kurang senang’ terhadap artis bukan kelahiran Malaysia, termasuklah isu melibatkan kemenangan Aaron Aziz (artis Singapura) pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011.
Begitu juga isu Zed Zaidi ‘meroyan’ dengan kenyataan seorang artis Indonesia, Julia Perez atau Jupe, sehinggakan beliau menghentam Jupe di laman Twitter tidak ubah seperti Jupe seorang penjenayah.
Sebagai seorang ‘presiden’, Zed Zaidi seharusnya lebih bijak menangani sebarang isu dalam industri hiburan, termasuk juga kes Najip Ali. Namun, apa yang ditunjukkan oleh pelakon itu adalah sebaliknya.
Jadi berbalik kepada isu Najip Ali, tidak perlulah kita terlalu menghukum dan mengeluarkan cacian terhadapnya seolah beliau melakukan kesalahan yang sangat besar. Sebaliknya, tanggani perkara ini dengan positif dan kawal emosi agar tidak keterlaluan sehingga menampakkan kita sebagai ‘kurang cerdik’.
Mohon Maaf!
Tambahan pula, stesen televisyen Singapura, Mediacorp Channel 5 dan Najip Ali dalam kenyataan terbaharu hari ini telah pun meminta maaf kepada Datuk Seri Najib dan seluruh rakyat Malaysia berhubung segmen tersebut.
“Channel 5 dan pasukan produksi di sebalik OK Chope! dengan ikhlas memohon maaf kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak atas satu segmen pada episod minggu lepas.
“Episod pada minggu lepas termasuk komen-komen yang merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia sebagai tidak berhemah dan menyakitkan hati. Oleh itu, kami telah menarik balik siaran ulangannya berkuat kuasa serta-merta.
“Kami memohon maaf atas kesilapan ini,” kata Ketua Pegawai Pelanggan Mediacorp Debra Soon dalam satu kenyataan.
Sementara Najip Ali dalam kenyataan yang sama berkata, “Sejak beberapa hari lepas saya sudah memikirkan sedalam-dalamnya komen yang dibuat semasa segmen dalam rancangan komedi Channel 5 yang merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia. Saya sedar betapa saya tidak sensitif dan tidak berhati perut.
“Saya ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak. Saya merayu agar beliau, penonton dan rakan-rakan memaafkan saya,” katanya.
Justeru, sudah-sudahlah perbesarkan isu ini. Orang Malaysia kata “cam gini’, orang Singapura pula kata “gerek seh”!
Sumber: http://www.edisiviral.com




Ulasan
Catat Ulasan